24 March 2024

pemergian ayah..

 assalamualaikum...


Kembalinya ayah kami, Mohd Termizi bin Abdul Razak menghadap Ilahi pada 17 Mac 2024 bersamaan 6 Ramadan 1445H. Al-Fatihah..


* ini adalah sedikit coretan kenangan sebelum ayah dipanggil menghadap Ilahi..


31/12/2023

tengahhari Ahad. aku tengah bersantai menonton tv bersama naura waktu mak telefon. mak minta tolong untuk bawa ayah ke klinik sebab ayah mengadu sakit dada. selepas minta izin suami untuk keluar, sepantas mungkin aku bersiap dan terus keluar ke Sungai Buaya. sampai ja dirumah mak, terus aku tanya nak bawa ke klinik mana? ayah kata bawa ke klinik Anda di Bukit Beruntung sebab murah. 

sampai di klinik, aku turunkan ayah dan mak betul-betul depan pintu klinik sementara aku dan naura mencari parking yang sesuai. masuk ja kedalam klinik, aku nampak doktor dan pembantunya macam kelam kabut keluar masuk bilik rawatan. nampak serius. aku duduk dikerusi sebelah mak. doktor pon keluar dapatkan kami.

" puan isteri & ini anak pakcik? " kami angguk. " pakcik kena serangan jantung. kita kena hantar dia ke Hospital. puan nak kita hantar naik ambulance atau kereta? " " saya hantar sendiri " aku jawab. " kalau puan nak hantar sendiri, kena pastikan puan tak singgah mana-mana. terus ke hospital bahagian kecemasan. saya suggest puan hantar ke Hospital Selayang. jangan ke Sungai Buloh sebab sekarang kes covid. " kami angguk faham. " sy tulis surat cepat-cepat, nanti puan boleh terus hantar pakcik ya. " doktor sambung lagi..

doktor bagi ubat jantung bawah lidah untuk ayah. kena letak 15 minit sekali. doktor minta ayah jangan tidur. tenang-tenang sahaja sebab benda dah jadi. waktu tu aku cuba bertenang. ayah nampak lemah. tapi masih mampu berjalan & bercakap.

waktu dalam kereta, ayah siap bagi arahan nak masuk jalan mana. dia bagitau jugak dia pernah naik ambulance sebab pernah pitam sebelum pegi Haji dulu. dia takmau naik ambulance sebab takut.diaorang bawak laju.. alhamdulillah perjalanan nak ke Hospital Selayang hari tu lancar sahaja. takda kesesakan.

aku terus letak mak & ayah betul-betul depan pintu kecemasan. selepas parking, aku terus pegi dapatkan mak. mak panggil aku masuk dalam zon merah. mak cakap doktor nak jumpa dengan anak sekali. bila masuk ja ke zon merah, doktor terkejut tengok aku bawa naura masuk. 

" takda orang boleh jaga anak ke? " " takda.. saya memang datang dengan anak " kecemasan ni doktor. suami saya kerja. saya pon tak tau ayah serius macam ni. (jawab dalam hati sahaja. huhu)

" baik.. kalau macam tu puan dengar baik-baik. pakcik kena serangan jantung major. nampak pakcik macam ok boleh jalan duduk macam biasa, tapi sebenarnya serius. potensi adalah 50/50. sekarang kita akan beri pakcik ubat cair darah. risiko ubat ni ialah, akan berlaku pendarahan pada gusi & perut. kita harap ada kesan positif berlaku. saya maklumkan macam ni supaya apa-apa berlaku puan dah boleh standby. kalau ada ahli keluarga jauh boleh maklumkan siap-siap. dalam tempoh 2-3 jam ni jangan pergi kemana-mana. tunggu sahaja disini. "

berderau! taktau nak cakap camna perasaan mendengar setiap patah yang keluar daripada mulut doktor. aku tengok muka mak yang berkerut. mungkin sama perasaan dengan aku. keluar dari zon merah, mak minta aku tulis dalam group keluarga untuk bagitau keadaan ayah.

adik-adik semua datang berkumpul.. menunggu berita daripada pihak hospital.

daripada siang bertukar malam. kami sambut tahun baru 2024 di hospital. menunggu perkhabaran ayah daripada pihak hospital..

dalam pukul 11 doktor cakap kami boleh balik sebab ayah ada tanda positif. aku dengan mak masuk tengok ayah sebelum balik. ayah sedar. cuma menahan sakit. malam tu, mak tidur rumah kami. tapi kami balik kejap dekat sungai buaya untuk ambil barang-barang mak & ayah. dah sampai rumah dapat lagi call daripada hospital bagitau yang ayah dah ditolak masuk wad. dia bagitahu wad dan bilik berapa. kena datang pada waktu melawat sahaja. tak boleh temankan ayah. 


1/1/2024

cuti tahun baru. ramai yang datang melawat ayah termasuk adik-adik ayah. kami berkumpul dirumah adik bongsu di Selayang sementara menunggu waktu melawat.


suami tolong lap kan badan ayah bagi segar.. 

hari ketiga ayah dekat wad, nampak makin segar. ada perubahan positif.. 

ayah masuk wad 6 hari.. setiap hari ada yang datang melawat, terutama adik 2 orang yang duduk selayang tu. diaorang la banyak ulang alik hantar makanan sebab ayah tak selera makanan hospital.

masa dekat hospital ayah baca ja semua whatsapp dekat group. 

sedih bila baca ayah tulis gitu.. mudah-mudahan ayah redha dan maafkan salah silap kami adik beradik..

ayah wishkan birthday naura.. ayah tengok video naura nangis sedih sebab ayah sakit masuk hospital..


5/1/2024

doktor call aku di sekolah. doktor cakap ayah dah boleh discharge. plan asal nak transfer kan ayah ke Serdang tak jadi sebab ayah belum fit nak buat angiogram. jadi doktor bagi ayah discharge dan rehat dirumah. doktor bagi 1 tarikh untuk ayah buat rawatan susulan.

petang tu, aku minta balik awal untuk urusan discharge ayah. naura hari tu aku dah bagitau dekat pengasuh lambat ambil sebab nak urus ayah. urusan discharge aku buat dengan mat amin, adik aku no 3. selesai discharge, aku bawa ayah & mak balik ke Sungai Buaya. malam tu family kami tidur dekat rumah mak ayah. sebab tak berani nak biar mak ayah sendiri. risau jadi apa-apa. 

balik ja Sungai Buaya, ramai yang datang ziarah. kawan, jiran, saudara-mara. 

ayah nampak ok. boleh urus diri. cuma tak lalu makan. jadi berat makin susut.


5/2/2024

sebulan lepas serangan, berat ayah turun mendadak. tak lalu makan. ayah tak keluar rumah pon. dia duduk ja dekat rumah. sebelum sakit, ayah suka minum teh tarik dekat kedai mamak. tapi sejak sakit, dia cuma makan sebab nak bagi ada tenaga ja.

ni diaorang bawak pegi sarapan dulu sebelum pegi hospital untuk buat angiogram. dak jiha, adik no 2 yang uruskan. 

lepas buat angiogram, doktor bagitau 3 saluran sumbat. ayah kena buat operation untuk bypass. kos operation 30k.

ayah bagitau dekat doktor, "saya takda duit nak buat tu doktor.. "
doktor cakap dekat ayah, "pakcik jangan risau. semua orang dekat wad ni pon bukan semua ada duit. kita akan apply zakat nanti. yang penting sekarang pakcik jaga ja kesihatan. jangan kena serangan kedua."

ayah macam lega sikit masa tu.. angah cakap, ayah jaga ja dulu. kalau nak pegi jalan, jom kita jalan dulu. nanti dah operation susah nak jaga. banyak tak larat. ayah pon jawab, jom lah.

ayah nak on trip Hatyai yang kami dah plan tahun lepas. dah bersemangat balik.

bukan semua yang datang ziarah kita ambil gambar.. masa ni pakat datang rumah aku. kebetulan sepupu kami,kak Azhana & keluarga nak datang ziarah ayah, jadi berkumpul la dekat rumah aku.

muka ayah ceria ja. dia boleh jalan, bersembang elok. cuma kerap batuk. kereta pon dia boleh bawa. cuma perlahan saja..

masa dia datang ni, aku ingat lagi. makan tengahhari, aku masak telur masak lemak cili padi. dia kata lalu pulak makan. jadi dia makan bertambah. seronok tengok.


18/2/2024 

ayah datang duduk dengan kami 4hari macam tu sebab mak pergi ikut adik jalan dekat Kelantan. ayah cakap," kalau ayah tak sakit duduk sorang pon takpa. tapi sebab sakit tak berani nak duduk sorang. nak ikut mak pegi Kelantan jauh sangat. lagipon ayah tak lalu makan." aku pon cakap, " yala.. dulu payah ayah nak tidur sini." "sebab dekat.. kalau jauh mungkin kena bermalam. ni rumah dekat. datang sekejap pon dah cukup. " 

tu antara kesempatan yang Allah bagi dekat aku. dapat jaga ayah sekejap. makan minum ubat dia. basuh baju dia. walaupon tak susah mana pon. sebab ayah bukan terlantar. dia elok ja semua. tapi dapat sembang dengan dia siang malam. bercerita serba sikit. jadi adala sedikit bonding kami anak beranak.


26/2/2024

masa doktor cakap ayah 50/50 dulu, aku berdoa dengan Allah. bagi la aku kesempatan lagi. aku belum bawa lagi ayah pergi jalan. aku memang nak bawa mak & ayah sama-sama. Alhamdulillah, aku dapat bawa ayah & mak pegi Port Dickson. dekat ja.. tapi itu pon ayah dah tak larat. dia takda tenaga. 

sampai dekat resort ja ayah terus rehat. time makan ni kami singgah sebelum sampai. memang tak buat apa sangat. sebab ayah tak larat. aku cuma nak bawa ayah rasa suasana lain selain daripada duduk dekat rumah & hospital. 

balik daripada bercuti, aku belikan ayah vitamin nak bagi dia selera makan. tapi ayah cakap sama ja.. tak membantu pon. 


14/3/2024

check up yang seterusnya di UITM Sg Buloh.. masa ni hari ketiga Ramadan. ayah puasa juga walaupon badan lemah. doktor suruh ayah buka sebab ayah lemah.

pada asalnya check up biasa, tapi ayah kena tahan wad sebab jantung laju & lemah.

ayah kena tahan sampai hari Sabtu. aku ingat nak pergi ziarah ayah hari Sabtu tu sebelum kami check in hotel. kami booking hotel sebelum ramadan lagi nak tidur dekat area jalan TAR sebab nak shopping raya. tapi pagi sabtu mak bagitau ayah dah boleh balik hari tu. jadi tak payah la datang ziarah lagi.

jadi kami ingat, ok takpala.. esok lepas check out kita pergi buka puasa sama-sama. masa kat hospital, mak & adik bongsu yang pergi tengok ayah. masa discharge mat amin yang ambil ayah.

 mat amin cakap masa discharge ayah ok ja semua. boleh berjalan sendiri pergi ke kereta. diaorang buka puasa sama-sama. ayah main dengan anaqi (anak mat amin). semuanya ok ja..


17/3/2024

lepas solat subuh aku tidur balik sebab semalam tidur lambat melayan buffet sahur hotel. pukul 4 pagi baru kami tidur. jadi bangun hampir pukul 11 pagi, aku capai telefon. baca segala mesej dalam whatsapp. daripada mesej ayah yang bertenang, terus bertukar jadi berderau bila tiba-tiba adik aku bagitahu ayah tak sedarkan diri. dah bawa ke hospital naik ambulance.

pukul 9.30 pagi ayah bagitahu semuanya baik-baik sahaja kecuali dia rasa pening. pukul 10.30 pagi angah bagitahu ayah tak sedar. dia dah call ambulance datang. adik no 3 yang tolong mak dekat rumah.

pukul 11 camtu sampai hospital doktor cakap ayah dah takda.. tapi doktor buat rawatan tekan dada & cucuk wayar penafasan 30 minit. masa mat amin bagitahu tu dia kata tinggal lagi 6 minit. kalau takda respon, doktor akan confirmkan semula..

masa tu aku punya kepala dah tak boleh nak fikir. aku kemas barang-barang, siap nak check out. dalam nak check out tu, mat amin dah bagitahu dekat group yang ayah dah meninggal.. Allah jala tahu camna rasanya waktu tu. kita nak berbuka sama patutnya hari ni. tapi kita kena pergi sambut jenazah ayah. 

dalam perjalanan aku telefon mak. sebab mak dekat rumah adik qibah sorang-sorang. menunggu untuk orang datang ambil bawa dia ke hospital. jadi, aku pergi ambil mak dulu kemudian terus ke hospital.

mak cerita macammana keadaan ayah sebelum pergi,

lepas keluar wad semalam, mat amin hantar mak ayah dekat rumah adik qibah. adik qibah balik berbuka sebelah mertua. jadi memang tinggal mak ayah ja dekat rumah tu. tapi mat amin family datang berbuka sama masa maghrib. malam tu ayah macam biasa ja.

tapi ayah memang tidur nyenyak. langsung takda bunyi mengeruh ataupon terjaga. biasanya dia akan terbangun tengah malam mencari nafas. tapi malam tadi memang lena betul. pagi tadi masa pukul 9 lebih memang ayah main phone dulu dekat dalam bilik. itula yang dia taip dekat group. lepas tu dia memang cakap dia pening. 

bila mak suruh dia minum air teh & makan ubat, dia keluar daripada bilik & duduk dekat meja makan. dia termenung ja tengok ubat tu. mak kata itu memang kebiasaan ayah. tapi tiba-tiba ayah macam nak muntah. pastu dah tenang sikit tiba-tiba matanya dah keatas.. mak ingat macam nak sawan @ jadi strok. tapi mak sebut juga " mengucap bah. mengucap bah. " lepas tu ayah macam terkulai.

mak terus telefon mat amin suruh datang. rumah mat amin memang dekat-dekat situ. jadi bila dia datang, dia tolong angkat ayah ke katil. masa tu ada lagi nafas. tapi lemah. bila ambulance datang, paramedik pon cakap ada lagi. cuma lemah. bila sampai hospital doktor kata dah takda.. sepantas itu. sepantas itu ayah pergi.

waktu dak jiha panggil untuk tengok jenazah, rasa hati macam tak percaya lagi. tapi bila dah nampak depan mata, jasad ayah yang kaku, yang pucat, hati terus cakap, aku dah takda ayah. ayah yang Allah pinjamkan selama 35 tahun dah pergi buat selamanya.. betul-betul dah pergi.

urusan pengebumian ayah sangat mudah. semuanya berjalan dengan lancar dan pantas. mak taknak buat postmortem walaupon ayah baru ja keluar wad. kita pon taknak seksa ayah. walaupun semuanya macam tiba-tiba. memang ayah sakit. tapi ayah tak terlantar. ayah boleh buat semua sendiri. solat pon dia mampu solat berdiri. masa sakaratulmaut pon, mak dengan mat amin kata, ayah nampak macam nak pitam ja. dia tak sakit dada. dia tak macam sesak nafas. sangat mudah.

semua urusan tuntut jenazah, adik bertiga yang uruskan. bawa ke masjid, amin & amir mandikan jenazah ayah. selesai mandi, baru semua ahli keluarga boleh masuk tengok. aku tengok wajah terakhir ayah yang bersih dalam kain kafan. aku cium dahi ayah yang sejuk beku. terima kasih ayah. semoga Allah ampunkan segala dosa & tempatkan ayah dikalangan orang beriman.

selesai solat asar, terus solat jenazah untuk ayah. ramai yang datang solatkan ayah. ramai juga yang mengiringi jenazah ayah ke perkuburan.

selesai talkin dibacakan, hujan turun renyai.. dalam perjalanan balik, hujan turun lebat. begitu cantik masa yang diaturkan. ngam-ngam sahaja selesai uruskan ayah. Alhamdulillah..

hari ini, hari ke 8 pemergian ayah.. masih belum hilang lagi rasa kehilangan tu. macam tak percaya, tapi tetap redha. Allah jemput ayah pada bulan baik dengan sangat mudah. dalam setiap sujud akhir ayong sentiasa doakan agar ayah cepat sembuh. Allah berikan kesembuhan dengan cara ambil ayah kembali kepadaNya. rehat lah ayah. tenang disana. semoga Allah mengasihani ayah, mengampunkan segala dosa-dosa & ditempatkan bersama orang beriman. Al Fatihah.



kenangan raya tahun lepas..

dalam ingatan dan kenangan, Mohd Termizi bin Abdul Razak 30.9.1961 - 17.3.2024.


' sesungguhnya kami milik Allah dan kepada Allah jua lah kami kembali. '

' wahai Tuhan kami! Berilah ampun bagiku dan bagi kedua ibu bapaku serta bagi orang-orang yang beriman ketika berlakunya perhitungan amal serta pembalasan.'

amin..





terima kasih buat yang sudi membaca <3

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...